Rujukan

Showing posts with label gaelic. Show all posts
Showing posts with label gaelic. Show all posts

Monday, November 19, 2012

Bahasa Goidelic di Ireland



Ireland

Bahasa Ireland merupakan salah satu bahasa resmi di Ireland bersama bahasa Inggeris. Menurut sejarah, ia merupakan bahasa utama di pulau tersebut tapi ini hanya menjadi bahasa minoriti menurut kawasan sahaja. Bahasa Ireland dituturkan di sebelah selatan, timur dan barat laut Ireland.

Kawasan berbahasa Ireland yang ditakrifkan melalui undang-undang dipanggil sebagai Gaeltacht. Semua institusi kerajaan di Republik Ireland utamanya di Oireachtas (Parlimen), Seanad (Rumah Atas) dan Dail (Rumah Bawah), dan Taoiseach (Perdana Menteri) semuanya diistilahkan dalam bahasa Ireland dan bahasa Inggeris.

Kini, istilah Gaeltachtai boleh ditemui di daerah-daerah seperti di Cork, Donegal, Mayo, Galway, Kerry dan sedikit sahaja digunakan di Waterford dan Meath. Di Republik Ireland, seramai 1,774, 437 jiwa iaitu 41.4 peratus dari kependudukannya yang berusia tiga tahun ke atas boleh bertutur dalam bahasa Ireland. Daripada jumlah ternyata ini, seramai 77, 185 iaitu 1.8 peratus daripada jumlah semua menggunakan bahasa Ireland sebagai bahasa harian di luar rumah. Bahasa Ireland mula melalui pemulihan di Utara Ireland dan diberikan kedudukan yang sah di sisi undang-undang melalui Persetujuan Belfast pada 1998. Pada 2001, banci menunjukkan seramai 167, 487 (10.4%) orang mempunyai sedikit pengetahuan bahasa Ireland. 

Digabungkan sekali, maksudnya ada kira-kira satu dalam tiga orang (1.8 juta) nyawa di pulau Ireland boleh memahami bahasa Ireland ke suatu tahap tertentu manakala ramai bilangannya tak boleh bertutur secara fasih dalam bahasa ini. Banci tidak mengambil kira orang Ireland yang sudah berhijrah dan dianggarkan bahawa ada lebih ramai penutur bahasa Ireland di Britania, Amerika Serikat, Australia dan lain-lain bahagian di dunia berbanding di tempat asalnya sendiri. 

Sebelum era kebuluran teruk pada 1840-an, bahasa Ireland banyak digunapakai tapi selepas kebuluran dan penghijrahan, maka ia mula berkurangan dan dipulihkan semula baru-baru ini sahaja. Ada juga tanggapan umum bahawa kelompok pemerintah yang diingeriskan dan orang Inggeris menurut kepada kenaikan kepangiranan dan kepupusan kelompok orang besar Gaelic maka bahasa Ireland cuma dipertutur oleh petani kampung. Bahasa Ireland diiktiraf secara resmi sebagai bahasa bekerja oleh Kesatuan Europa. Bahasa kebangsaan Ireland ini merupakan bahasa ke-21 yang menerima pengiktirafan Kesatuan Europa (EU) dan sebelum ini juga berkedudukan sebagai bahasa perjanjian.   

Frasa-Frasa Mudah Bahasa Ireland

Fáilte Romhat Selamat Datang
Lá Maith Hari yang Baik
Maidin Mhaith Selamat Pagi
Trathnóna Mhaith Selamat Tengah Hari
Oíche Mhaith Selamat Malam
Go Raibh Maith Agat Terima Kasih
Slán Leat Selamat Tinggal
Slàinte Ucap Selamat (Minum)

Bilangan

1 Aon
2 Dó
3 Trí
4 Ceathair
5 Cúig
6 Se
7 Seacht
8 Ocht
9 Naoi
10 Deich
11 Aon Déag
12 Do Dhéag
20 Fiche
100 Céad

Sunday, November 18, 2012

Sejarah Penyebaran Bahasa Goidelic


Bahasa Goidelic suatu ketika dahulu pernah terkurung di dalam Ireland sahaja, tetapi antara kurun ke-3 sampai ke-6 masehi beberapa kumpulan orang Ireland yang dipanggil oleh orang Romawi sebagai Skoti mula berhijrah dari Ireland masuk ke Cornwall, Wales dan Skotland.

Yang tinggal di Cornwall dan Wales mula meninggalkan kesan jangka panjang di situ. Walau bagaimanapun, penduduk Dal Riada di Skotland akhirnya berasimilasi dengan orang Pict yang merupakan penutur bahasa Brythonik tinggal bertaburan sekitar Skotland. 

Bahasa Manx pula berdekatan dengan bahasa Ireland yang dituturkan di timur laut dan timur Ireland dan bahasa Gelik Galloway di sebelah barat daya Skotland (telah pupus), dengan sedikit pengaruh daripada bahasa Norse lama melalui penaklukan orang Viking dan dari penduduk asli Britania.

Rekod bertulis yang paling tua dalam bahasa Goidelik adalah dalam bahasa Ireland Boran, yang disaksikan dalam batu bersurat Ogham bertarikh kira-kira abad ke-4 masehi. Bentuk bahasa ini sangat berdekatan atau hampir sama sahaja dengan bentuk rekod bahasa Gaul ketika pendudukan empayar Romawi. Peringkat berikutnya, bahasa Ireland lama, ditemui dalam nota kaki manuskrip keagamaan berbahasa Latin dari abad ke-6 sampai ke-10 masehi, begitu juga dengan teks-teks lama yang disalin atau direkod dalam bahasa Ireland pertengahan. Bahasa Ireland pertengahan yang digantikan oleh bahasa-bahasa Goidelik moden, direkodkan dalam abad ke-10 sampai ke-12 masehi. Banyak sastera dalam bahasa ini terselamat termasuklah teks undang-undang Ireland awal.   

Bahasa Gaelik klasik, dikenali juga dengan bahasa Ireland moden yang awal, dituturkan dalam abad ke-13 sampai ke-18 masehi semasa bahasa sastera banyak digunakan di Ireland dan Skotland. Ini selalunya dikenali sebagai bahasa Ireland klasik, manakala pengajian etnologi bahasa menamakannya sebagai bahasa Gaelik Hiberno-Skotland untuk bahasa tulisannya. Bahasa bertulis bagi Gaelik sastera tinggi di Skotland ini dianggap berasal dari Ireland.

Kemudian, sistem ortografi bercabang pula menghasilkan ortografi plurisentri yang seragam. Ortografi bahasa Manx yang diperkenal dalam abad ke-16 sampai ke-17 masehi, adalah berdasarkan amalan bahasa Inggeris dan bahasa Wales maka ia tak dianggap sebagai tahap pawai bagi sastera.

Tuesday, November 6, 2012

Bahasa Gallo di Brittany

Bahasa Gallo sebagai Bahasa Asli di Wilayah Brittany

Brittany mempunyai dua bahasa asli iaitu bahasa Gallo dan bahasa Breton. Bahasa Breton dituturkan di sebelah barat wilayah Brittany dan tergolong dalam kumpulan bahasa Keltik. Manakala bahasa Gallo dituturkan di sebelah timur wilayah Brittany dan tergolong dalam kumpulan bahasa Romawi.

Bahasa Gallo ini sangat dekat sekali dengan bahasa Perancis dan juga berhubungan rapat dengan bahasa-bahasa wilayah lain yang dituturkan di utara negara Perancis dan negara Belgium seperti bahasa Picard, bahasa Norman, bahasa Angevin, bahasa Poitevin atau bahasa Wallon. Semua bahasa ini disebut sebagai bahasa-bahasa Oil dalam bidang ilmu kebahasaan dan semuanya berasal dari bahasa Latin yang dituturkan di wilayah Gaul dalam jajahan Romawi.  

Asal-Usul

Bahasa Latin dituturkan di semenanjung Armorika selepas penaklukan Romawi di barat Gaul sekitar abad pertama sebelum masehi. Bahasa Latin mulanya bertembung dengan bahasa Keltik-Gaul tempatan dan menjelang abad ke-8 M ia mula berpecah dari bahasa Latin menjadi bahasa Gallo yang kita ketahui hari ini.

Ketibaan beramai-ramai pendatang Breton dari pulau Britania pada awal abad pertengahan menjadikan bahagian barat wilayah Brittany sebagai bahagian berbahasa Breton. Walau bagaimanapun, bahasa Gallo masih lagi dituturkan sebagai bahasa tempatan di sebahagian wilayah timur semenanjung wilayah Breton termasuk lah oleh penduduk Duchy dan di bandar-bandar utama seperti Nantes dan Rennes. Dokumen dari zaman Duchy of Brittany juga menunjukkan bahawa bahasa Gallo digunakan secara meluas dan digunakan juga dalam bahagian wilayah yang berbahasa Breton.

Sebagai bahasa dalam kelompok bahasa Romawi, perbendaharaan kata dan tatabahasa bahasa Gallo berasal dari bahasa Latin. Bahasa Gallo ada juga mengekalkan beberapa perkataan dari bahasa Gaul purba yang bercampur dan dipinjam dari bahasa jenis Jerman seperti bahasa Skandinavia dan bahasa Frank yang berada dalam bahasa Perancis lama dan bahasa Norman. Perkataan-perkataan dalam bahasa Gallo yang dipinjam ini ada juga dalam bahasa Oil yang lain. Walaupun dekat tetapi kurangnya pertembungan antara bahasa Gallo dan bahasa Breton walaupun ada beberapa perkataan bahasa Breton yang digunapakai dalam loghat bahasa Gallo di bahagian barat.

Sejarah Ketahanan Bahasa Gallo

Berikutan Perjanjian Kesatuan Brittany dan Perancis dalam 1532, Brittany hilang kemerdekaannya dan menjadi wilayah kepada kerajaan Perancis. Tujuh tahun kemudiannya, iaitu pada 1539, Piagam Villers-Cotterêts melaksanakan rang undang-undang menjadikan bahasa Perancis sebagai bahasa resmi Perancis. Bahasa Gallo digantikan dengan bahasa Perancis dalam semua urusan surat menyurat kerajaan dan pihak berkuasa, menyebabkan bahasa Gallo dan juga bahasa Breton hilang kedudukan resmi di wilayah nya sendiri.  

Dianggarkan bahasa, sebelum pendidikan wajib diperkenal di Perancis pada abad ke-19, bahasa Perancis merupakan bahasa asing kepada orang ramai yang tinggal di wilayah jajahan Perancis. Ia cuma dituturkan oleh sebanyak 14 juta jiwa daripada keseluruhan 39 juta jiwa. Pada masa ini, bahasa wilayah Perancis cuma dikenali sebagai bahasa Patois.

Bahasa Perancis bahasa yang ditutur ramai selepas Perang Dunia I. Hari ini, bahasa Oil selain daripada bahasa Perancis seperti bahasa Gallo, bahasa Norman dan lain-lain hanya dituturkan di kampung-kampung oleh orang tua. Bahasa itu semua dianggap sebagai "loghat bahasa Perancis yang salah" oleh orang ramai di negara Perancis.

Kedudukan Bahasa Gallo Hari Ini

Pada 1976, sekumpulan peminat bahasa Gallo membangunkan Association des Amis du Parler Gallo yang kemudian dikenali sebagai Bertaèn Galeizz yang bertujuan untuk mempelajari dan memupuk kebolehan berbahasa Gallo di samping cuba mendapatkan pengesahan resmi untuk kedudukan bahasa itu. Kerajaan Perancis sebenarnya bertindak agak tegas terhadap bahasa lain selain bahasa Perancis demi kesatuan penduduk negara Perancis. 

Hari ini, bahasa Gallo dan bahasa Breton walaupun merupakan bahasa asli wilayah dalam negara Perancis pun masih tidak mendapat kedudukan resmi di wilayah mereka sendiri. Perancis merupakan negara terakhir yang tidak mengesahkan persetujuan Piagam Bahasa Minoriti dan Wilayah Kesatuan Eropah dan Konvensyen Rangka Kerja Perlindungan Minoriti Kebangsaan. Oleh itu, tidak ada sebarang statistik berkenaan dengan penutur yang masih berbaki bagi bahasa Gallo dan bahasa Breton di wilayah Brittany.  

Tampak jelas bahawa dalam keadaan sekarang ini, bahasa Gallo berada dalam keadaan yang buruk lebih teruk dari keadaan bahasa Breton yang berjiran dengannya. Dalam pada bahasa Breton mendapat publisiti antarabangsa di luar negara Perancis dan menikmati kedudukan tak resmi dalam masyarakat Breton, bahasa Gallo masih lagi dianggap sebagai bahasa Perancis yang buruk oleh orang ramai. 

Mujurlah ada usaha keras dari peminat bahasa Gallo dan pertubuhan di beberapa kolej di bahagian timur wilayah Brittany yang mengajarkan bahasa Gallo kepada golongan muda. Bahasa Gallo boleh juga dipelajari sebagai kursus pilihan Langue et Littérature de Haute-Bretagne di yang diajarkan di Universiti of Rennes II.