Rujukan

Showing posts with label latin. Show all posts
Showing posts with label latin. Show all posts

Monday, November 19, 2012

Bahasa Galego di Sepanyol

Peta bahasa mengikut zaman di Semenanjung Iberia

Bahasa Galego merupakan bahasa cabang Ibero-Romawi Barat. Ia dituturkan oleh sejumlah tiga juta nyawa, utamanya di wilayah kemasyarakatan autonomi Galicia di barat laut Sepanyol. Ia merupakan bahasa resmi di wilayah tersebut bersama dengan bahasa Sepanyol sebagai bahasa kebangsaan seluruh negara.

Bahasa Galego dituturkan juga di kawasan sempadan antara wilayah Asturia dan Castilia serta Leon, di samping digunakan oleh masyarakat Galego yang berhijrah ke seluruh Sepanyol, Amerika Latin, Amerika Serikat dan lain-lain kawasan di Europa. Bahasa ini sangat rapat hubungannya dengan bahasa Portugis dan kedua-dua bahasa ini pernah berkongsi bahasa sama dalam lirik lagu Galego-Portugis kurun ke-13 sampai ke-14. Kemudian kedua-dua bahasa ini mula bercabang apabila Portugal dimerdekakan pada abad ke-12 masehi. Senarai kata bahasa ini banyak mengambil dari bahasa Latin walaupun ada juga perkataan-perkataan penting diambil dari bahasa cabang Jerman dan Keltik. Di samping itu, ia turut menerima perkataan serapan dari bahasa Sepanyol, Portugis dan kata nama dari bahasa Arab yang pernah digunakan orang Arab yang mentadbir dalam abad pertengahan di Iberia selatan.

Bahasa Galego dipantau oleh Akademi Diraja Galicia dan juga badan-badan bebas seperti Pertubuhan Bahasa Galego dan Akademi Galicia untuk Bahasa Portugis yang memantau bahasa tersebut sebagai satu loghat bahasa Portugis.

Hubungan dengan Bahasa Portugis

Bahasa Galego moden dan saudara selatannya, bahasa Portugis, berasal dari nenek moyang bahasa yang sama dipanggil oleh sarjana bahasa moden sebagai bahasa Galego-Portugis atau bahasa Galego Pertengahan atau bahasa Galego Lama atau bahasa Portugis Lama. Tahap perkembangan awal ini berkembang di wilayah-wilayah dalam kerajaan Galicia lama yang meliputi wilayah-wilayah Galicia hari ini dan utara Portugal. Pada abad ke-13 masehi, ia menjadi bahasa bertulis dan digunakan untuk merekod. 

Pada zaman lampau, bahasa Galego dan bahasa Portugis membentuk kesinambungan loghat. Untuk kebanyakan sarjana, kesinambungan ini masih wujud sehingga kini pada tahap loghat-loghat hulu nya. Yang lain-lain pula menunjukkan bahawa bahasa Galego moden dan bahasa Portugis telah bercabang ke satu tahap sejak tujuh abad lampau. Jadi hari ini, bahasa Galego sangat berkait rapat dengan bahasa Portugis tetapi masing-masing merupakan bahasa yang berdiri sendiri.  

Pada asalnya, bahasa Galego-Portugis merupakan bahasa Latin kasar yang dituturkan di wilayah Barat empayar Romawi. Penduduk di tanah Galicia, Asturia dan utara Portugal semuanya tergolong sebagai rakyat dalam Kerajaan Galicia yang merupakan bekas wilayah Romawi yang dipanggil sebagai Gallaecia seperti mana ia diubah dari Kerajaan Suevik Galicia pada abad kedua masehi. Piawaian bahasa ini mula bercabang pada abad ke-14 masehi apabila bahasa Portugis menjadi bahasa kerajaan Portugal yang merdeka dan juga bahasa-bahasa wilayahnya, manakala bahasa Galego menjadi bahasa kesetiausahaan seperti bahasa kepada peguam, orang kenamaan serta orang gereja dalam Kerajaan Galicia sebelum dijalinkan dengan mahkota Castilia dan dipengaruhi oleh bahasa Castilia, kebudayaan Castilia dan politiknya. Pada abad ke-16 masehi, bahasa Galicia berhenti digunakan sebagai bahasa merekod hal perundangan. Ia cuma menjadi bahasa lisan dan digunakan dalam lirik lagu, wayang dan surat menyurat peribadi sahaja.  

Kedudukan bahasa Galego berkaitan dengan bahasa Portugis masih lagi kekal sebagai kontroversi dan isu ini kadang-kadang membawa juga lebihan nada politik. Ada juga pakar bahasa yang membuat kajian berkenaan bahasa Galego moden dan bahasa Portugis moden sebagai sejenis norma atau kepelbagaian dari bahasa yang sama. Setengah penulis misalnya Lindley Cintra menganggap kedua-dua bahasa ini sebagai loghat yang saling berkaitan dalam bahasa yang sama walaupun ada perbezaan dari segi sebutan dan perbendaharaan katanya. Pilar Vazquez Cuesta pula menghujahkan bahawa bahasa-bahasa ini sudah berasingan disebabkan oleh perbezaan sistem ejaan dan penggunaan kata. Kadang-kadang morfologi dan tatabahasa juga sudah berbeza.

Fernandez Rei pada 1990 pernah menyatakan bahawa bahasa ini dengan bahasa Portugis sebagai bahasa jenis Ausbau, melalui pengembangan dan bukan bahasa jenis Abstand iaitu bahasa yang tertanggal dari asalnya. Berkenaan dengan pandangan luaran dan dalam berkaitan hubungan ini, misalnya dalam edisi Ensiklopedia Brittanika ada mentakrifkan bahasa Galego sebagai loghat bahasa Portugis yang dituturkan di barat laut Sepanyol. Walau bagaimanapun, kebanyakan penutur bahasa Galego tak pernah menganggap bahasa ini sebagai kepelbagaian bahasa Portugis. Tapi sebagai bahasa yang berbeza kerana bahasa Galego moden berkembang tanpa sebarang gangguan dan terus saja dari bahasa Galego Pertengahan. 

Bahasa Galego boleh difahami dengan baik (kira-kira 85%) oleh penutur bahasa Portugis di wilayah-wilayah Alto-Minho dan Tras-os-Montes tapi orang Portugis sebelah selatan dan tengah Portugal tak faham sangat bahasa Galego.      

Tuesday, November 6, 2012

Bahasa Gallo di Brittany

Bahasa Gallo sebagai Bahasa Asli di Wilayah Brittany

Brittany mempunyai dua bahasa asli iaitu bahasa Gallo dan bahasa Breton. Bahasa Breton dituturkan di sebelah barat wilayah Brittany dan tergolong dalam kumpulan bahasa Keltik. Manakala bahasa Gallo dituturkan di sebelah timur wilayah Brittany dan tergolong dalam kumpulan bahasa Romawi.

Bahasa Gallo ini sangat dekat sekali dengan bahasa Perancis dan juga berhubungan rapat dengan bahasa-bahasa wilayah lain yang dituturkan di utara negara Perancis dan negara Belgium seperti bahasa Picard, bahasa Norman, bahasa Angevin, bahasa Poitevin atau bahasa Wallon. Semua bahasa ini disebut sebagai bahasa-bahasa Oil dalam bidang ilmu kebahasaan dan semuanya berasal dari bahasa Latin yang dituturkan di wilayah Gaul dalam jajahan Romawi.  

Asal-Usul

Bahasa Latin dituturkan di semenanjung Armorika selepas penaklukan Romawi di barat Gaul sekitar abad pertama sebelum masehi. Bahasa Latin mulanya bertembung dengan bahasa Keltik-Gaul tempatan dan menjelang abad ke-8 M ia mula berpecah dari bahasa Latin menjadi bahasa Gallo yang kita ketahui hari ini.

Ketibaan beramai-ramai pendatang Breton dari pulau Britania pada awal abad pertengahan menjadikan bahagian barat wilayah Brittany sebagai bahagian berbahasa Breton. Walau bagaimanapun, bahasa Gallo masih lagi dituturkan sebagai bahasa tempatan di sebahagian wilayah timur semenanjung wilayah Breton termasuk lah oleh penduduk Duchy dan di bandar-bandar utama seperti Nantes dan Rennes. Dokumen dari zaman Duchy of Brittany juga menunjukkan bahawa bahasa Gallo digunakan secara meluas dan digunakan juga dalam bahagian wilayah yang berbahasa Breton.

Sebagai bahasa dalam kelompok bahasa Romawi, perbendaharaan kata dan tatabahasa bahasa Gallo berasal dari bahasa Latin. Bahasa Gallo ada juga mengekalkan beberapa perkataan dari bahasa Gaul purba yang bercampur dan dipinjam dari bahasa jenis Jerman seperti bahasa Skandinavia dan bahasa Frank yang berada dalam bahasa Perancis lama dan bahasa Norman. Perkataan-perkataan dalam bahasa Gallo yang dipinjam ini ada juga dalam bahasa Oil yang lain. Walaupun dekat tetapi kurangnya pertembungan antara bahasa Gallo dan bahasa Breton walaupun ada beberapa perkataan bahasa Breton yang digunapakai dalam loghat bahasa Gallo di bahagian barat.

Sejarah Ketahanan Bahasa Gallo

Berikutan Perjanjian Kesatuan Brittany dan Perancis dalam 1532, Brittany hilang kemerdekaannya dan menjadi wilayah kepada kerajaan Perancis. Tujuh tahun kemudiannya, iaitu pada 1539, Piagam Villers-Cotterêts melaksanakan rang undang-undang menjadikan bahasa Perancis sebagai bahasa resmi Perancis. Bahasa Gallo digantikan dengan bahasa Perancis dalam semua urusan surat menyurat kerajaan dan pihak berkuasa, menyebabkan bahasa Gallo dan juga bahasa Breton hilang kedudukan resmi di wilayah nya sendiri.  

Dianggarkan bahasa, sebelum pendidikan wajib diperkenal di Perancis pada abad ke-19, bahasa Perancis merupakan bahasa asing kepada orang ramai yang tinggal di wilayah jajahan Perancis. Ia cuma dituturkan oleh sebanyak 14 juta jiwa daripada keseluruhan 39 juta jiwa. Pada masa ini, bahasa wilayah Perancis cuma dikenali sebagai bahasa Patois.

Bahasa Perancis bahasa yang ditutur ramai selepas Perang Dunia I. Hari ini, bahasa Oil selain daripada bahasa Perancis seperti bahasa Gallo, bahasa Norman dan lain-lain hanya dituturkan di kampung-kampung oleh orang tua. Bahasa itu semua dianggap sebagai "loghat bahasa Perancis yang salah" oleh orang ramai di negara Perancis.

Kedudukan Bahasa Gallo Hari Ini

Pada 1976, sekumpulan peminat bahasa Gallo membangunkan Association des Amis du Parler Gallo yang kemudian dikenali sebagai Bertaèn Galeizz yang bertujuan untuk mempelajari dan memupuk kebolehan berbahasa Gallo di samping cuba mendapatkan pengesahan resmi untuk kedudukan bahasa itu. Kerajaan Perancis sebenarnya bertindak agak tegas terhadap bahasa lain selain bahasa Perancis demi kesatuan penduduk negara Perancis. 

Hari ini, bahasa Gallo dan bahasa Breton walaupun merupakan bahasa asli wilayah dalam negara Perancis pun masih tidak mendapat kedudukan resmi di wilayah mereka sendiri. Perancis merupakan negara terakhir yang tidak mengesahkan persetujuan Piagam Bahasa Minoriti dan Wilayah Kesatuan Eropah dan Konvensyen Rangka Kerja Perlindungan Minoriti Kebangsaan. Oleh itu, tidak ada sebarang statistik berkenaan dengan penutur yang masih berbaki bagi bahasa Gallo dan bahasa Breton di wilayah Brittany.  

Tampak jelas bahawa dalam keadaan sekarang ini, bahasa Gallo berada dalam keadaan yang buruk lebih teruk dari keadaan bahasa Breton yang berjiran dengannya. Dalam pada bahasa Breton mendapat publisiti antarabangsa di luar negara Perancis dan menikmati kedudukan tak resmi dalam masyarakat Breton, bahasa Gallo masih lagi dianggap sebagai bahasa Perancis yang buruk oleh orang ramai. 

Mujurlah ada usaha keras dari peminat bahasa Gallo dan pertubuhan di beberapa kolej di bahagian timur wilayah Brittany yang mengajarkan bahasa Gallo kepada golongan muda. Bahasa Gallo boleh juga dipelajari sebagai kursus pilihan Langue et Littérature de Haute-Bretagne di yang diajarkan di Universiti of Rennes II.