Rujukan

Showing posts with label minoriti. Show all posts
Showing posts with label minoriti. Show all posts

Sunday, November 18, 2012

Sejarah Penyebaran Bahasa Goidelic


Bahasa Goidelic suatu ketika dahulu pernah terkurung di dalam Ireland sahaja, tetapi antara kurun ke-3 sampai ke-6 masehi beberapa kumpulan orang Ireland yang dipanggil oleh orang Romawi sebagai Skoti mula berhijrah dari Ireland masuk ke Cornwall, Wales dan Skotland.

Yang tinggal di Cornwall dan Wales mula meninggalkan kesan jangka panjang di situ. Walau bagaimanapun, penduduk Dal Riada di Skotland akhirnya berasimilasi dengan orang Pict yang merupakan penutur bahasa Brythonik tinggal bertaburan sekitar Skotland. 

Bahasa Manx pula berdekatan dengan bahasa Ireland yang dituturkan di timur laut dan timur Ireland dan bahasa Gelik Galloway di sebelah barat daya Skotland (telah pupus), dengan sedikit pengaruh daripada bahasa Norse lama melalui penaklukan orang Viking dan dari penduduk asli Britania.

Rekod bertulis yang paling tua dalam bahasa Goidelik adalah dalam bahasa Ireland Boran, yang disaksikan dalam batu bersurat Ogham bertarikh kira-kira abad ke-4 masehi. Bentuk bahasa ini sangat berdekatan atau hampir sama sahaja dengan bentuk rekod bahasa Gaul ketika pendudukan empayar Romawi. Peringkat berikutnya, bahasa Ireland lama, ditemui dalam nota kaki manuskrip keagamaan berbahasa Latin dari abad ke-6 sampai ke-10 masehi, begitu juga dengan teks-teks lama yang disalin atau direkod dalam bahasa Ireland pertengahan. Bahasa Ireland pertengahan yang digantikan oleh bahasa-bahasa Goidelik moden, direkodkan dalam abad ke-10 sampai ke-12 masehi. Banyak sastera dalam bahasa ini terselamat termasuklah teks undang-undang Ireland awal.   

Bahasa Gaelik klasik, dikenali juga dengan bahasa Ireland moden yang awal, dituturkan dalam abad ke-13 sampai ke-18 masehi semasa bahasa sastera banyak digunakan di Ireland dan Skotland. Ini selalunya dikenali sebagai bahasa Ireland klasik, manakala pengajian etnologi bahasa menamakannya sebagai bahasa Gaelik Hiberno-Skotland untuk bahasa tulisannya. Bahasa bertulis bagi Gaelik sastera tinggi di Skotland ini dianggap berasal dari Ireland.

Kemudian, sistem ortografi bercabang pula menghasilkan ortografi plurisentri yang seragam. Ortografi bahasa Manx yang diperkenal dalam abad ke-16 sampai ke-17 masehi, adalah berdasarkan amalan bahasa Inggeris dan bahasa Wales maka ia tak dianggap sebagai tahap pawai bagi sastera.

Saturday, November 17, 2012

Perlindungan Masyarakat Minoriti di Europa

Orang Gipsi Roma yang tak bernegeri di Perancis, Romania dan Hungaria
Ini sebenarnya adalah bahagian tajuk dari pengkajian aku mengenai Kesatuan Europa. Kajian aku baru ditendang semula ke muka aku oleh penyelia selepas aku menghantar dua bab awalan kajian aku. Bagaimana rasanya ya? Rasanya bagaikan hendak tercabut sahaja nyawa ini. Aku terasa menyesal kerana mengabaikan blog ini. Sepatutnya aku membaharui selalu isinya supaya aku boleh menceduk sahaja isi nya buat pengkajian aku.

Pengenalan Penglibatan EU dalam Hak Minoriti

Kesatuan Europa sudah mula menjadi begitu giat dalam lapangan perlindungan kumpulan minoriti sejak permulaan 1990-an. Namun masih belum ada acquis yang kuat berkaitan dengan isu ini. Perjanjian-perjanjian tidak memandatkan perlindungan minoriti dan hal perlindungan minoriti langsung tak tersebut di dalamnya. Masalah keberkesanan dalam dasar perlindungan hak masyarakat minoriti dalam Kesatuan Eropah (EU) menjadi begitu jelas sekali selepas berlaku perubahan politik besar yang terjadi di Europa pada tahun 1989 dengan negara bekas Yugoslavia dan permulaan proses kenaikan negara-negara bekas Komunis ke dalam Kesatuan Europa. Hal ini menyebabkan Kesatuan Europa mengenakan syarat perlindungan hak-hak golongan minoriti sebagai satu syarat untuk kenaikan dan mengambil langkah baru demi menghalang pilih bulu dan pengucilan masyarakat minoriti daripada masyarakat umum.

Namun begitu, ia adalah satu hakikat bahawa perumusan dasar hak-hak minoriti masih lagi berkeadaan samar-samar dan kebanyakan masanya masih belum ditambat secara perundangan. Negara anggota pula mempunyai pelbagai dasar hak-hak minoriti dan selalu sahaja tidak dapat memberikan persetujuan terhadap piawaian yang lebih umum dalam lapangan ini.

Takrifan Masalah   

Bukan hanya EU sahaja yang berurusan dengan perkara ini selepas 1989, tetapi juga Majlis Europa (CoE), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dan juga Pertubuhan untuk Keselamatan dan Kerjasama dalam Europa (OSCE) juga turut terlibat.

Masalah pertama yang tampak jelas timbul melalui pertubuhan-pertubuhan ini dan masih belum dapat diselesaikan lagi oleh para sarjana adalah mengenai takrifan masalah ini. Ada banyak jenis pilihan takrifan untuk istilah minoriti ini dan tak ada satu pun daripada semua ini yang boleh dianggap sebagai takrifan yang tertambat dengan undang-undang. Makanya, tida persetujuan sebulat suara dalam kedua-dua perundangan Kesatuan Europa (EU) dan perundangan antarabangsa berkenaan dengan takrifan minoriti. Ketiadaan takrifan yang jelas berkenaan minoriti ini dalam cara dasar dan langkah perundangan antarabangsa menyebabkan timbulnya keadaan saling bercanggahan.  

Istilah minoriti ini secara umumnya boleh dikelaskan dari segi agama, bahasa, etnik dan minoriti kebangsaan. Semua kategori ini selalu bertindan antara satu sama yang lain dan jarang-jarang boleh dipisahkan. Sesuatu minoriti agama merujuk kepada minoriti yang menganut satu agama yang berbeza dengan agama penduduk majoriti. Minoriti bahasa pula merujuk kepada sekumpulan manusia yang menggunakan bahasa yang berbeza daripada bahasa resmi dalam negeri tempat mereka tinggal sama ada dalam bentuk tulisan atau pengucapan lalu membentuk kategori rantingan kepada minoriti budaya. Minoriti jenis ini biasanya mudah untuk dikenalpasti. Walau bagaimanapun, pembezaan antara minoriti etnik dan kebangsaan nampaknya lebih rumit. Satu minoriti itu akan dikelaskan sebagai minoriti kebangsaan jika ia berkongsi jatidirinya seperti budaya dan bahasa dengan masyarakat yang lebih luas yang membentuk majoriti berkebangsaan di merata-merata atau yang membentuk kependudukan majoriti dan membentuk negara bangsa nya sendiri (Pan & Pfeil, 2003). Minoriti berkebangsaan dalam hal ini, adalah seperti orang Denmark di Jerman, orang Hungaria di Romania, orang Russia di Latvia dan sebagainya. Mereka adalah minoriti di negara lain tetapi, mereka juga mempunyai negara bangsa yang wujud secara tersendiri. 

Sebaliknya, istilah etnik minoriti merujuk kepada: "orang-orang yang tergolong dalam masyarakat etnik yang bukan majoriti daripada kependudukan dalam sebarang negeri dan juga tak membentuk negara bangsa sendiri di mana-mana pun" (Pan & Pfeil, 2003). Contoh bagi minoriti ini adalah etnik Frisia di pantai utara negara Belanda dan etnik Breton di negara Perancis.

Lagi satu masalah takrifan dalam undang-undang antarabangsa adalah berkenaan dengan perbezaan antara konsep minoriti "boran" atau minoriti autoktonos dan minoriti "baru". Pertikaian ini adalah berkenaan dengan soalan sama ada minoriti boran ini akan dianggap sebagai minoriti dan sebaiknya dilindungi oleh norma-norma perundangan yang sesuai atau sama ada minoriti baru misalnya seperti pendatang baru dan pekerja tamu yang tak memiliki sebarang kerakyatan dalam sesuatu negeri tempat mereka menetap juga patut dilindungi hak mereka dengan perlindungan antarabangsa?  

Minoriti-Minoriti di Europa

Menurut Pan dan Pfeil (2006), lebih daripada 300 minoriti daripada lebih 100 ahli diperkira dalam Eropah, yang membawa maksud bahawa setiap satu pertujuh rakyat di Europa adalah ahli masyarakat minoriti. Setiap negeri Europa mempunyai lebih daripada sejuta penduduk yang antaranya adalah kumpulan minoriti. Hanya negeri-negeri kecil seperti Malta, Luxembourg dan San Marina sahaja yang tak mempunyai kumpulan minoriti. Hampir tiga suku daripada kumpulan minoriti Eropah ini tinggal dalam wilayah rantau Kesatuan Europa (EU) walaupun menurun kepada dua suku sahaja daripada nya sejak kenaikan negara-negara Europa Timur ke Kesatuan pada 2004.

Dalam 15 negara anggota EU itu, keadaan nya berbeza dari satu negara ke satu negara. Peratusan orang yang tergolong dalam etnik minoriti dalam negara-negara ini pula meningkat dari satu peratus di negara Jerman sehingga ke 20 peratus di negara Sepanyol. Tambahan pula, negara Belgium dengan tiga bahasa utamanya mempunyai pecahan minoriti sebanyak 90 peratus. Bilangan kumpulan minoriti juga berbeza dalam negara-negara ini. Kebanyakan negara anggota mempunyai antara tiga sehingga ke enam kumpulan minoriti manakala negara Italia mempunyai 12 kumpulan semuanya.

Di negara Perancis dan negara Yunani pun, yang kebanyakan bahagian cuba menafikan kewujudan kelompok minoriti dalam wilayah mereka mempunyai tujuh kumpulan.

12 negara anggota kecuali negara Malta dan Qiprus yang naik menjadi anggota Kesatuan antara tahun 2004 sehingga 2007 mempunyai sekurang-kurangnya empat kumpulan minoriti yang kemudiannya boleh dipecahkan kepada sepuluh lagi kumpulan kecil. Setengah negara di Europa Timur tidak mempunyai kepelbagaian etnik dan suku kaum. Misalnya seperti negara Poland dan Hungaria. Peratusan orang yang tergolong sebagai etnik minoriti di negara-negara ini hanya sebanyak tiga sehingga empat peratus sahaja. Tetapi negara-negara lain di bahagian Timur Kesatuan mempunyai peratusan etnik minoriti sebanyak 10-20 peratus. Manakala Estonia dan Latvia pula mempunyai 30-40 peratus etnik minoriti.     

Perlindungan Minoriti dalam Proses Integrasi Europa

Berbeza dengan Majlis Europa (CoE), Kesatuan Europa (EU) jarang sekali terlibat dalam lapangan perlindungan hak-hak minoriti. Proses integrasi Europa pada awalnya cuma sebuah projek ekonomi. Atas sebab ini, negara-negara anggota terpaksa menyerahkan kuasa negara bangsa mereka kepada badan supranasional yang diwakili oleh Masyarakat Europa (EC). Hal ini membolehkan EC masuk campur dalam hal politik dan ekonomi negara anggota nya. Namun campur tangan dalam hal-ehwal kebudayaan masyarakat minoriti negara anggota langsung tak pernah disentuh walaupun dari awal penubuhan Masyarakat Europa. 

Seperti yang sudah disebutkan, hanya pada awalan 1990-an sahaja Kesatuan Europa mula melibatkan diri dalam lapangan perlindungan hak minoriti disebabkan oleh perluasan pada masa hadapan. Peperangan di bekas negara Yugoslavia dan maklumbalas dasar EU yang lemah membangkitkan pemandangan yang teruk dan menyebarkan ketidakstabilan dalam masyarakat. Walaupun kekurangan peruntukan dalam undang-undang untuk hak-hak minoriti dalam acquis communautaire, EU terlibat dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa lain semasa proses kenaikan dalam mempengaruhi dasar minoriti di bakal negara anggota nya. Majlis Europa (EC) yang berlangsung di Copenhagen pada bulan Jun 1993 menetapkan bahawa negara-negara di Tengah dan Timur Europa yang memohon keanggotaan dalam Kesatuan Europa mesti memenuhi syarat-syaratnya. Kriteria Copenhagen juga memasukkan seperenggan yang relevan dengan isu minoriti ini: ditentukan bahawa semua negara yang memohon keanggotaan mesti mencapai "kestabilan dalam institusi-institusi yang menjamin demokrasi, kesaksamaan undang-undang, hak asasi manusia dan menghormati serta melindungi hak-hak minoriti" (Matlary, 2002).  

Perlu juga diambil perhatian bahawa semua kriteria kenaikan politik dipindahkan ke dalam perundangan asas EU dalam Perjanjian Amsterdam dengan pengecualian klausa berkenaan perlindungan minoriti. Natijahnya, perlindungan minoriti tidak diberikan sebarang kuasa tertambat dan tidak mempunyai dimensi dalaman yang jelas. Ia hanya tinggal sebagai satu kriteria dalam kenaikan negara anggota dan relevan dalam dasar luar Kesatuan Eropah (EU) sahaja. Walaupun perjanjian-perjanjian tidak mengandungi norma yang khusus untuk perlindungan minoriti, namun, undang-undang asas melalui Art. 13 TEC menawarkan peruntukan untuk dasar anti-diskriminasi satu kelayakan asas yang khusus bagi perlindungan hak-hak minoriti dalam konteks perundangan EU.

Dengan menggunakan asas perundangan yang ini yang mencakupi perlindungan minoriti, Kesatuan boleh mengembangkan lagi usaha-usaha untuk merangka dasar minoriti nya. Sebagai tambahan kepada diskriminasi berdasarkan kebangsaan yang dilarang oleh klausa anti-diskriminasi lama dalam Art. 12 TEC, Perjanjian Amsterdam ada memperkenal melalui Art. 13 satu peruntukan untuk melawan diskriminasi pada lapan asas iaitu jantina, bangsa atau asal suku kaum, agama atau kepercayaan, kelainan upaya, umur dan orientasi seks. 

Aspek bermasalah dalam kedua-dua artikel ini adalah kedua-duanya terkandung dengan perkara yang dirujuk oleh sarjana sebagai "hak minoriti negatif". Melalui kedua-dua artikel ini, golongan minoriti dilindungi oleh prinsip-prinsip umum daripada undang-undang anti-diskriminasi yang terdapat dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa yang tradisional yang melarang sebarang diskriminasi. Prinsip anti-diskriminasi ini merupakan asas penting kepada perlindungan hak-hak minoriti. Walau bagaimanapun, sarjana kebanyakannya selalu berhujah yang ia cuma langkah pertama dalam perlindungan minoriti sedangkan masih belum mencukupi untuk menghadapi persoalan semenjak layanan sama rata yang dilaksanakan melalui prinsip anti-diskriminasi selalunya membawa atau memaksa kepada asimilasi.

Demokrasi-demokrasi di Europa oleh itu perlu kepada tambahan positif dalam usaha melindungi minoriti melalui langkah-langkah tertentu yang disebut sebagai "tindakan afirmatif". Maknanya, kelompok manusia yang tak bernasib baik itu boleh terus dibantu menerusi beberapa langkah dalam usaha untuk menghapuskan ketidaksamarataan antara kumpulan yang bernasib baik dan yang tak bernasib baik. Contoh-contoh yang biasa berkenaan hak-hak positif adalah seperti hak menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam kehidupan orang awam, hak untuk menerima arahan dalam bahasa ibunda sendiri, hak untuk menubuhkan pertubuhan yang berasingan termasuk lah parti politik dan lain-lain.

Melalui Perjanjian Lisbon, perkataan minoriti akhirnya dimasukkan ke dalam teks undang-undang asas EU. Hakikatnya juga, "hak-hak orang yang tergolong dalam kelompok minoriti" ditambah ke dalam Artikel 1a sebagai salah satu nilai yang membentuk Kesatuan Europa. Tambahan pula Piagam Hak-Hak Asasi Kesatuan Europa (EUFRC), yang tak mengandungi sebarang peruntukan yang khusus untuk melindungi kumpulan-kumpulan minoriti tetapi sekali lagi tetap menekankan tentang prinsip-prinsip anti diskriminasi dan menggalakkan negara anggota untuk menghormati kepelbagaian kebudayaan, agama dan bahasa. Kini ia menjadi sebahagian daripada undang-undang asas EU yang sah.      

Ia bermaksud bahawa dengan Perjanjian Lisbon, perlindungan hak-hak bagi orang yang tergolong dalam kelompok minoriti bukan sahaja nanti menjadi salah satu kriteria kenaikan bagi negara calon ke EU, tetapi juga menjadi satu nilai kepada penubuhan EU dan menjadi perkara serupa bagi semua negara anggota. Walau bagaimanapun, sejauh mana perlindungan ini akan diberikan masih lagi merupakan persoalan yang terbuka.

Hal ini disebabkan oleh Perjanjian Lisbon yang tidak membekalkan EU dengan kecekapan yang jelas dalam bidang hak-hak minoriti, ia tak menambah sebarang bidang dasar yang relevan dengan perlindungan minoriti dan tidak mewajibkan negara anggota untuk memperkenal tindakan afirmatif dalam usaha melindungi hak minoriti. Dengan kenaikan negara-negara bekas Soviet, EU telah menggandakan kumpulan minoriti nya yang tinggal dalam wilayah-wilayah yang naik ke Kesatuan dan semestinya memerlukan EU menerima haikat ini dan mempertimbang hak-hak rakyat baru ke Kesatuan yang perlu tercermin melalui dasar-dasarnya.      

Tuesday, November 6, 2012

Bahasa Gallo di Brittany

Bahasa Gallo sebagai Bahasa Asli di Wilayah Brittany

Brittany mempunyai dua bahasa asli iaitu bahasa Gallo dan bahasa Breton. Bahasa Breton dituturkan di sebelah barat wilayah Brittany dan tergolong dalam kumpulan bahasa Keltik. Manakala bahasa Gallo dituturkan di sebelah timur wilayah Brittany dan tergolong dalam kumpulan bahasa Romawi.

Bahasa Gallo ini sangat dekat sekali dengan bahasa Perancis dan juga berhubungan rapat dengan bahasa-bahasa wilayah lain yang dituturkan di utara negara Perancis dan negara Belgium seperti bahasa Picard, bahasa Norman, bahasa Angevin, bahasa Poitevin atau bahasa Wallon. Semua bahasa ini disebut sebagai bahasa-bahasa Oil dalam bidang ilmu kebahasaan dan semuanya berasal dari bahasa Latin yang dituturkan di wilayah Gaul dalam jajahan Romawi.  

Asal-Usul

Bahasa Latin dituturkan di semenanjung Armorika selepas penaklukan Romawi di barat Gaul sekitar abad pertama sebelum masehi. Bahasa Latin mulanya bertembung dengan bahasa Keltik-Gaul tempatan dan menjelang abad ke-8 M ia mula berpecah dari bahasa Latin menjadi bahasa Gallo yang kita ketahui hari ini.

Ketibaan beramai-ramai pendatang Breton dari pulau Britania pada awal abad pertengahan menjadikan bahagian barat wilayah Brittany sebagai bahagian berbahasa Breton. Walau bagaimanapun, bahasa Gallo masih lagi dituturkan sebagai bahasa tempatan di sebahagian wilayah timur semenanjung wilayah Breton termasuk lah oleh penduduk Duchy dan di bandar-bandar utama seperti Nantes dan Rennes. Dokumen dari zaman Duchy of Brittany juga menunjukkan bahawa bahasa Gallo digunakan secara meluas dan digunakan juga dalam bahagian wilayah yang berbahasa Breton.

Sebagai bahasa dalam kelompok bahasa Romawi, perbendaharaan kata dan tatabahasa bahasa Gallo berasal dari bahasa Latin. Bahasa Gallo ada juga mengekalkan beberapa perkataan dari bahasa Gaul purba yang bercampur dan dipinjam dari bahasa jenis Jerman seperti bahasa Skandinavia dan bahasa Frank yang berada dalam bahasa Perancis lama dan bahasa Norman. Perkataan-perkataan dalam bahasa Gallo yang dipinjam ini ada juga dalam bahasa Oil yang lain. Walaupun dekat tetapi kurangnya pertembungan antara bahasa Gallo dan bahasa Breton walaupun ada beberapa perkataan bahasa Breton yang digunapakai dalam loghat bahasa Gallo di bahagian barat.

Sejarah Ketahanan Bahasa Gallo

Berikutan Perjanjian Kesatuan Brittany dan Perancis dalam 1532, Brittany hilang kemerdekaannya dan menjadi wilayah kepada kerajaan Perancis. Tujuh tahun kemudiannya, iaitu pada 1539, Piagam Villers-Cotterêts melaksanakan rang undang-undang menjadikan bahasa Perancis sebagai bahasa resmi Perancis. Bahasa Gallo digantikan dengan bahasa Perancis dalam semua urusan surat menyurat kerajaan dan pihak berkuasa, menyebabkan bahasa Gallo dan juga bahasa Breton hilang kedudukan resmi di wilayah nya sendiri.  

Dianggarkan bahasa, sebelum pendidikan wajib diperkenal di Perancis pada abad ke-19, bahasa Perancis merupakan bahasa asing kepada orang ramai yang tinggal di wilayah jajahan Perancis. Ia cuma dituturkan oleh sebanyak 14 juta jiwa daripada keseluruhan 39 juta jiwa. Pada masa ini, bahasa wilayah Perancis cuma dikenali sebagai bahasa Patois.

Bahasa Perancis bahasa yang ditutur ramai selepas Perang Dunia I. Hari ini, bahasa Oil selain daripada bahasa Perancis seperti bahasa Gallo, bahasa Norman dan lain-lain hanya dituturkan di kampung-kampung oleh orang tua. Bahasa itu semua dianggap sebagai "loghat bahasa Perancis yang salah" oleh orang ramai di negara Perancis.

Kedudukan Bahasa Gallo Hari Ini

Pada 1976, sekumpulan peminat bahasa Gallo membangunkan Association des Amis du Parler Gallo yang kemudian dikenali sebagai Bertaèn Galeizz yang bertujuan untuk mempelajari dan memupuk kebolehan berbahasa Gallo di samping cuba mendapatkan pengesahan resmi untuk kedudukan bahasa itu. Kerajaan Perancis sebenarnya bertindak agak tegas terhadap bahasa lain selain bahasa Perancis demi kesatuan penduduk negara Perancis. 

Hari ini, bahasa Gallo dan bahasa Breton walaupun merupakan bahasa asli wilayah dalam negara Perancis pun masih tidak mendapat kedudukan resmi di wilayah mereka sendiri. Perancis merupakan negara terakhir yang tidak mengesahkan persetujuan Piagam Bahasa Minoriti dan Wilayah Kesatuan Eropah dan Konvensyen Rangka Kerja Perlindungan Minoriti Kebangsaan. Oleh itu, tidak ada sebarang statistik berkenaan dengan penutur yang masih berbaki bagi bahasa Gallo dan bahasa Breton di wilayah Brittany.  

Tampak jelas bahawa dalam keadaan sekarang ini, bahasa Gallo berada dalam keadaan yang buruk lebih teruk dari keadaan bahasa Breton yang berjiran dengannya. Dalam pada bahasa Breton mendapat publisiti antarabangsa di luar negara Perancis dan menikmati kedudukan tak resmi dalam masyarakat Breton, bahasa Gallo masih lagi dianggap sebagai bahasa Perancis yang buruk oleh orang ramai. 

Mujurlah ada usaha keras dari peminat bahasa Gallo dan pertubuhan di beberapa kolej di bahagian timur wilayah Brittany yang mengajarkan bahasa Gallo kepada golongan muda. Bahasa Gallo boleh juga dipelajari sebagai kursus pilihan Langue et Littérature de Haute-Bretagne di yang diajarkan di Universiti of Rennes II.

Sunday, November 4, 2012

Bahasa Breton

Bahasa Breton merupakan bahasa orang asli British yang berhijrah ke negeri Brittany di Perancis moden.  Ia merupakan satu cabang loghat bahasa Celtic yang dibawak ke Armorica oleh orang British yang berhijrah semasa awal abad pertengahan. Bahas lain di negeri Brittany adalah bahasa Gallo yang berasal dari bahasa Latin. Ia hampir nak sama seperti bahasa Perancis. 
  
Penutur bahasa Breton ini mula menurun dari sejuta orang penutur pada 1950 kepada 200,000 orang sahaja pada abad ke-21. Ia mula dikelaskan oleh UNESCO sebagai bahasa yang terancam. Pada tahun 2006 sehingga 2011, peratusan murid menghadiri kelas dwibahasa di negeri Brittany meningkat dari 27 peratus sehingga ke 14, 129. 

Contoh Kata Kerja dalam Ayat

1. Me zo o komz gant ma amezeg. 
    Aku bercakap dengan jiran aku.

2. Me a gomz gant ma amezeg bep mintin.
    Aku cakap dengan jiran aku setiap pagi.

Kata Hubung dalam Ayat

1. Ul levr zo ganin.
    Ada buku sama aku.

2. Un died zo ganit.
    Ada minuman dengan mu

3. Un urzhiater zo gantan. (maskulin)
    Ada komputer dengan nya.

4. Ur bugel zo ganti. (feminin)
    Ada komputer dengan nya.

5. Ur C'harr zo ganimp/ganeomp.
    Sebijik kereta ada dengan kita

6. Un ti zo ganeoc'h. (jamak)
    Sebijik rumah ada dengan kamu.

7. Arc'hant zo ganto/gante.
    Duit ada sama mereka.

Senarai Frasa dalam bahasa Breton

Deuet mat : Persila
Deuet mat oc'h : Sama-sama
Breizh : Brittany
Brezhoneg : Bahasa British
Ty : Rumah
Ti-kêr : Dewan Pekan
Kreiz-kêr : Pusat Bandar 
Da bep lec'h : Semua Arah
Skol : Sekolah
Skol-veur : Universiti
Fest noz : Pesta malam
Kenavo : Selamat tinggal
Ur grampouezhenn : Sebijik lempeng
Krampouezh : Lempeng (jamak)
War vor atav : Selalu di laut

Saja aku pos kan untuk pengenalan. Aku suka bahasa Gaelic semua jenis pun sama ada di Scotland, Ireland, Wales atau di Pulau Manx di negara Britania. Bahasa negeri ni nak semacam kami jugak ada bahasa negeri sendiri yang tak diiktiraf dalam kerajaan persekutuan dan tak ada bantuan dari pihak akademik mahu pun kementerian untuk membantu bahasa minoriti untuk hidup. Bahasa Perancis dan bahasa Inggeris pun aku suka lah di samping bahasa Sepanyol dan bahasa Portugis tapi kalau tau bahasa negeri atau bahasa wilayah lagi bagus senang hendak buat kawan kalau tersangkut di Eropah. Sebagai penduduk dalam negari bekas tanah perlindungan British, kami ada juga belajar sejarah perjuangan orang Gaul di wilayah-wilayah perlindungan Empayar Britania Raya yang lain seperti Scotland dan Ireland. Negara aku secara "persekutuan" nya memang jajahan British, tetapi wilayah aku berasal bukan jajahan sebaliknya merupakan tanah yang dilindungi baginda Queen. Wilayah kami ditadbir tanpa campur tangan pihak British kerana sistem pemerintahan kami sudah begitu moden sekitar abad ke-18 M dan pemimpin kami semuanya berpandangan jauh belajar mengenai negara-negara jiran nya misalnya negara Siam.